Thursday, October 19, 2017

SEJARAH PERKEMBANGAN SUKAN TAEKWONDO DI MALAYSIA


Taekwondo pada mulanya diperkenalkan kepada Malaysia pada 1963 oleh General Choi Hong Hi (yang kemudian merupakan duta Republik Korea di Malaysia). Pada masa itu General Choi diberi mandat oleh Persatuan Taekwondo Korea (KTA) untuk mengembangkan seni tempur ini ke luar negara. Beliau memulakan langkah ini di Kuala Lumpur dan kemudian berkembang ke negeri-negeri lain.


Pada 1663, Persatuan Taekwondo Selangor ditubuhkan. Pada sekitar awal tahun 60an, arahan teknikal dan prosidur pentadbiran Persatuan Taekwondo Selangor kebanyakannya dikendalikan oleh jurulatih bangsa Korea yang berbeza. Komunikasi di antara pelatih dan jurulatih adalah kurang selain daripada perkembangan naik pangkat para junior dan senior di kalangan rakyat Malaysia juga adalah lambat.

Pada 1966 hingga 1967, dengan penstrukturan semula dan timbulnya langkah Persatuan Taekwondo Korea menggabungkan pelbagai aliran tempur Korea “KWANSEke dalam sukatan pelajaran Taekwondo, kesetiaan pengikut Taekwondo di Malaysia kepada persatuan yang sedia ada telah teruji. General Choi, yang dipertanggungjawabkan memperkenalkan Taekwondo di Malaysia tidak bersetuju dengan yang lain dalam hiraki kepimpinan Persatuan Taekwondo Korea menggabungkan KWANS ke dalam sukatan pelajaran Taekwondo. Kesan daripada perkembangan ini tertubuhnya International Taekwondo Federation (ITF) diketuai oleh General Choi Hong Hi, berpusat di Toronto Kanada dan World Taekwondo Federation (WTF), di bawah kepimpinan Dr. Un Yong Kim, berpusat di Seoul Korea Selatan.

Para Pelatih senior terutama di Selangor menyedari bila tiadanya badan kebangsaan yang mentadbir perkembangan seni tempur ini secara berdikari daripada tenaga bangsa Korea terutama dalam lapangan menyelaraskan polisi, panduan dan peraturan dalam mempromosikan Taekwondo menyebabkan perkembangan sukan ini terjejas di Malaysia. Ini telah terbukti bila tenaga pentadbir terakhir bangsa Korea meninggalkan negara pada awal tahun 70an, perkembangan sukan Taekwondo negara telah teruk merosot.
Secara praktikalnya, tiada persatuan negeri di seluruh negara dan kebanyakan jurulatih adalah berbangsa Korea. Mereka mencipta peraturan sendiri dan menjalankan pusat latihan di mana senario ini menimbulkan ketidakpuashatian di kalangan pencinta Taekwondo di setiap negeri. Walaupun kemudiannya banyak persatuan negeri ditubuhkan, mereka masih tidak menukar status quo sebelum ini bila mana bangsa Korea masih mendominasi persatuan-persatuan ini. Sistem ujian naik taraf juga tidak diselaraskan selain daripada setiap negeri masing-masing tidak mengiktiraf antara satu sama lain. Juga tiada langkah muktamad untuk meletakkan tenaga pengajar senior tempatan mengambil alih pucuk pimpinan persatuan jika pemimpin-pemimpin bangsa Korea ini bercadang meninggalkan negara.

Kemudiannya, langkah menubuhkan Badan Taekwondo Kebangsaan telah dimulai oleh Mr. C.K. Leow (Ketua Jurulatih Persekutuan dan Pengarah Lembaga Teknikal dan Pentadbiran Taekwondo Kebangsaan Esehingga kini) dan Mr. Christopher Lai (bekas Pegawai Tertinggi Persatuan Taekwondo Malaysia MTA/ WTF) serta Mr. Chin Mee Keong (pengerusi pertama Persatuan Taekwondo Malaysia MTA/ WTF). Dengan dedikasi tinggi, pengorbanan dan kesabaran, ketiga-tiga individu ini bersama bantuan beberapa pengamal senior Taekwondo tempatan mengadakan satu mesyuarat yang disertai oleh wakil daripada Selangor, Angkatan Tentera Malaysia, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Johor dan Sabah dengan tujuan merealisasikan penubuhan Badan Taekwondo Kebangsaan tersebut.
Pada awal tahun 70an, beberapa individu senior penting yang menyokong penubuhan tersebut daripada Persatuan Taekwondo Selangor yang pada masa itu masih dibayangi oleh polisi International Taekwondo Federation (ITF) melalui jurulatih-jurulatih bangsa Korea di bawah General Choi bercadang menghubungi Persatuan Taekwondo Korea secara terus untuk mendapatkan nasihat teknikal dan panduan yang perlu untuk meneruskan perkembangan Taekwondo di Malaysia. Impak daripada komunikasi dengan Persatuan Taekwondo Korea ini ialah, mereka telah berpecah daripada ITF dan menyertai Kejohanan Taekwondo Dunia Pertama pada 1973 di Seoul Korea Selatan anjuran Persatuan Taekwondo Korea.

Di kejohanan ini, Persatuan Taekwondo Korea dengan restu kerajaan Republik Korea telah menggerakkan langkah sulong menubuhkan World Taekwondo Federation (WTF) bersama para delegasi daripada 22 negara. Malaysia diwakili oleh Mr. C.K. Leow, Mr. Christopher Lai dan Ms. Betty Khoo.
Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA/ WTF) mula menjalinkan hubungan erat dengan WTF dan dibekalkan informasi teknikal, kursus lanjutan dan berpeluang menyertai pertandingan antarabangsa kelolaan badan Taekwondo dunia tersebut. Latihan tempatan juga dikendalikan oleh pemegang talipinggang hitam tahap 3 hingga 4 berbangsa Malaysia sendiri.

Bagi mereka di dalam persatuan kebangsaan pada masa itu, bukanlah sesuatu yang mudah untuk menggerakkan fungsi dan meletakkan Taekwondo pada tahap yang efektif, namun cinta mereka terhadap Taekwondo membantu mengatasi banyak masalah dan kesusahan yang datang. Selepas beberapa tahun yang singkat, MTA/ WTF telah banyak menyumbang kepada perkembangan Taekwondo di seluruh negara. Hari ini MTA/ WTF telah dianggotai oleh semua negeri Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM).
MTA/ WTF merupakan satu-satunya persatuan Taekwondo di Malaysia yang diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semenjak 1978. Selain daripada itu, MTA/ WTF bernaung di bawah badan sukan antarabangsa di bawah:
(1) World Taekwondo Federation (WTF) yang juga merupakan ahli International Olympic           Committee (IOC) dan General Assiciation of International Sports Federation (GAISF)            serta badan sukan antarabangsa lain
(2) Pesekutuan Taekwondo Asia (Asian Taekwondo Union)
(3) Persekutuan Taekwondo Asia Tenggara (Southeast Asia Taekwondo Union)

Dengan keputusan positif daripada projek-projek yang dijalankan oleh WTF di seluruh dunia bersama penganjuran Kejohanan Taekwondo Dunia dan kejohanan peringkat sektor geografi, Taekwondo (WTF) sekarang boleh dianggap sukan tempur yang paling popular di Malaysia. Lebih-lebih lagi Taekwondo (WTF) merupakan satu-satunya aliran Taekwondo yang diterima bertanding di kejohanan Sukan Olimpik, Asia, Asia Tenggara (SEA Games), Sukan Malaysia (SUKMA), Majlis Sukan Universiti-Universiti Malaysia (MASUM) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Bagi menjamin keberkesanan projek teknikal yang dijalankan, Persatuan Taekwondo Malaysia (MTA/ WTF) mempunyai Lembaga Teknikal & Pentadbiran: Technical & Administration (TAB)nya sendiri yang dianggotai oleh ketua jurulatih setiap negeri.
TAB bertanggungjawab menjalinkan hubungan muhibah di kalangan ahlinya yang berbilang bangsa dan agama melalui pertandingan di antara sekolah, zon dan kebangsaan pada setiap tahun selain menganjurkan seminar/ kursus pengadilan dan kejurulatihan 2 kali setahun.

Sebagai tambahan kepada seminar dan kursus ini, Pemegang Talipinggang Hitam yang berdaftar dengan MTA/ WTF dihantar ke Korea untuk menerima tunjuk ajar secara langsung mengenai teknik kejurulatihan dan pertandingan.
Bukan sesuatu yang keterlaluan dikatakan bahawa MTA/ WTF merupakan persatuan sukan tempur terbaik di Malaysia ketika ini. Melalui dedikasi dan kerja keras para pegawai dan ahli TAB, MTA/ WTF telah berjaya mencapai banyak objektif selain daripada berjuang di bawah bendera negara di setiap kejohanan antarabangsa bila peruntukan kewangan untuknya diluluskan.

Projek teknikal MTA/ WTF banyak dibiayai oleh syarikat swasta seperti Nestle Products Sdn. Bhd yang telah lama memberi sokongan kepada sukan ini manakala Pro-Specs, Kentucky Fried Chicken (KFC) dan Cheetah merupakan penganjur jangka pendek kepada peojek MTA/ WTF. Juga tidak dinafikan sumbangan Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah banyak mengeluarkan belanjawan membiayai banyak kejohanan antarabangsa untuk MTA/ WTF. Peruntukan kewangan ini digunakan untuk membiayai kejohanan, seminar dan kursus selain daripada meningkatkan tahap keberkesanan servis MTA/ WTF melalui peningkatan tahap kualiti fasiliti seperti peralatan pejabat, peralatan pertandingan dan menyediakan premis yang dijadikan gim untuk perkembangan sukan Taekwondo.

Sebagai badan sukan, MTA/ WTF sangat komited mengembangkan Taekwondo ke sekolah, kolej, universiti serta sektor awam dan swasta di seluruh negara. MTA/ WTF juga mempunyai jurulatih yang berkelayakan mengajar di lebih 1,200 buah sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Dalam usaha mengekalkan keberkesanan dan mengawal tahap kualiti standard para jurulatih, MTA/ WTF mempunyai pegawai teknikal di dalam Lembaga Teknikal & Pentadbiran (TAB)nya yang merangkumi semua penggiat senior (lebih 15 tahun pengalaman) untuk mengendalikan semua projek teknikal seperti:
1. Sistem kelayakan jurulatih
2. Sistem ujian naik pangkat para ahli
3. Klinik kejurulatihan untuk para jurulatih
4. Promosi melalui pameran
5. Pertandingan
6. Kurikulum untuk sistem kelayakan jurulatih
7. Kurikulum untuk sistem ujian naik pangkat para ahli
8. Mengatur program latihan khas untuk individu atau kumpulan terpilih
9. Latihan persedian untuk Skuad Kebangsaan dan Skuad Bakat bertanding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa
MTA/ WTF adalah komited dan nekad memberi bimbingan profesional kepada ahlinya bukan sahaja ke arah membina kecemerlangan disiplin, jati diri, kesihatan dan pertahanan diri, tetapi turut membawa kegemilangan kepada Malaysia melalui pertandingan antarabangsa yang disertai.



sumber rujukan:- rcn.blogspot.my

2 comments:

  1. terima kasih atas perkongsian...izin kan sy share maklumat ini ya...

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas perkongsian...izinkan sy share maklumat ini juga ya...

    ReplyDelete

Protected by Copyscape Plagiarism Software